Ahmad Zahid tarik balik rayuan rakaman percakapan saksi kes rasuah Yayasan Akalbudi


Ahmad Zahid menarik balik rayuan untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi membabitkan Yayasan Akalbudi.

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

Ahmad Zahid kemudian menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada bulan sama.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada Sabtu.

Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 November ini dilapangkan.

Setakat ini pihak pembelaan memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lalu.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 16 Januari 2023.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram