Padah main mercun diubah suai, pemuda Terengganu nyaris hilang dua-dua tangan


  • 112
  • Isnin, 10 Apr 2023

Mangsa cedera parah dikedua-dua belah tangannya dipercayai akibat terkena mercun yang  diubah suai. — Gambar Hiasan

SEORANG lelaki cedera parah di kedua-dua belah tangannya, dipercayai akibat terkena mercun yang diubah suai di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 turut mengalami luka di badannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi berkata, kejadian tersebut disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumahnya yang disangkakan terdapat pergaduhan dan terus menghubungi pihak polis.

"Bagaimanapun sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan. Abang mangsa tidak mengesyaki ia perbuatan jahat daripada mana-mana pihak kerana kejadian ini akibat perbuatan bermain mercun,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Wan Mohd Zaki berkata, ia adalah kejadian kedua berlaku di Terengganu sejak Ramadan ini, selepas kejadian empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram