Abai kanak-kanak hingga cedera, polis siasat kejadian libatkan taska di Putrajaya


  • 112
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Tangkap layar rakaman video dikongsikan ibu mangsa mengenai pengabaian didakwa dilakukan taska berkenaan terhadap kanak-kanak diletakkan di pusat jagaan terbabit. — Facebook

POLIS sedang melakukan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan didakwa mengalami kecederaan ketika berada di sebuah taska di Putrajaya yang tular di sosial media pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan berkaitan insiden itu sudah dibuat oleh ibu mangsa pada pukul 10.26 malam Rabu.

"Wanita berkenaan membuat laporan berkaitan beberapa kesan gigitan di tangan anaknya semasa dihantar ke sebuah taska di Putrajaya.

"Siasatan pihak polis telah dijalankan di mana satu kertas siasatan dibuka di bawah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan.

A Asmadi berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan kecederaan dialami di bahagian tangan itu selari dengan kesan gigitan kanak kanak seusia.

"Selain itu, semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang sah," ujarnya.

Menurut beliau, kedua-dua pihak pada mulanya bersetuju untuk tuntutan ganti rugi ekoran insiden tersebut namun belum ada penyelesaian dapat dibuat setakat ini.

Pada Jumaat tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik seorang wanita mendakwa anaknya mengalami pengabaian di sebuah taska sehingga sehingga membawa kepada kecederaan di beberapa bahagian tubuh badan.

WhatsApp Image 2023-04-08 at 5.31.42 PM (2)

Antara kecederaan dialami kanak-kanak tersebut dipercayai akibat insiden berkenaan. — Facebook

Dalam insiden terbabit, pihak guru turut memaklumkan anaknya telah digigit oleh seorang kanak-kanak lain ketika berada di pusat jagaan tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan taska tersebut didapati tidak patuh kepada Akta Taska 1984.

Susulan daripada itu, KPWKM menyatakan pengusaha pusat jagaan tersebut telah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera.

Katanya, taska berkenaan juga sedang dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhannya.

KPWKM berkata, kementerian itu tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan kanak-kanak seperti yanng diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001

"Menjadi tanggungjawab pengusaha taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska.

"Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat," katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, dalam isu taska yang tular tersebut, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

KPWKM turut meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak-kanak kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, laporan juga boleh dibuat kepada Talian Kasih di nombor 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram