AGENSI pelancongan mula dilanda keresahan apabila masyarakat terutamanya generasi muda mula mengatur jadual percutian mereka sendiri berbanding bergantung kepada pihak berkenaan.
Pengarah Urusan GMC Travel & Tours Sdn Bhd, Mohammad Zabri Hamzah berkata, trend tersebut dilihat jelas sebelum negara dilanda Covid-19, malah ia terus meningkat pasca pandemik berkenaan.
Menurutnya, fenomena berkenaan berpotensi mengancam pengendali perkhidmatan pelancongan dan seterusnya mengganggu pasaran industri tersebut jika ia berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
"Antara cabaran industri alaf baharu ini adalah generasi muda berumur 20 tahun hingga 40 tahun mula membuat keputusan untuk merancang percutian sendiri berbanding berurusan dengan ejen pelancongan. Mereka dah mahir tempah tiket penerbangan sendiri dan penginapan.
"Ia berbeza dengan pelanggan yang kami kendalikan, biasanya berumur 41 hingga 65 tahun, mereka tidak berani tapi ingin melancong. Kebiasaannya mereka akan meminta khidmat ejen pelancongan kerana ia lebih selamat dan terjamin tidak perlu keluar untuk cari makanan, tempat sembahyang, selain ada itenari sendiri," katanya kepada Majoriti.
Rakyat Malaysia dibawa menaiki belon udara panas ketika melawat negara Turkiye.
Selain itu, Mohammad Zabri memaklumkan lambakan ejen pelancongan yang tidak berlesen turut mengganggu kelangsungan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan sektor berkenaan kerana penawaran harga lebih murah disebabkan kos operasi rendah daripada pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Oleh itu, dia yang mula menawarkan perkhidmatan pelancongan berkenaan sejak tahun 2011 itu berkata, pihaknya sentiasa menyediakan pelbagai pakej percutian yang boleh disesuaikan mengikut pelanggan seperti pakej melancong perseorangan atau berkeluarga.
Selain menawarkan pakej percutian pada harga berpatutan, jelasnya, selaku antara 20 syarikat pelancongan terbaik di ibu negara, pihaknya sentiasa membuka lebih banyak destinasi pelancongan baharu mengikut permintaan semasa.
Katanya setakat ini, syarikatnya menyediakan pakej pelancongan ke 25 negara di seluruh dunia termasuk Eropah dan Balkan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.
"Antara destinasi yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk melancong selepas sempadan negara dibuka ialah negara-negara Eropah, selain Turkiye yang lebih murah dan mempunyai empat musim.
"Kita juga akan perbanyakkan lagi destinasi mampu milik kegemaran rakyat Malaysia yang trending, contohnya Jepun dan Korea. Kita juga akan buka hingga enam destinasi baharu di negara-negara Asia Tengah," katanya yang beroperasi di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Mohammad Zabri ketika ditemubual Majoriti di pejabatnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Selain menawarkan pakej pelancongan ke luar negara, Mohammad Zabri memaklumkan pihaknya juga giat mempromosikan taman tema dan hotel di Malaysia.
Antaranya seperti Lexis Hibiscus di Port Dickson, Negeri Sembilan; Lost World of Tambun di Ipoh, Perak; Legoland Malaysia di Iskandar Puteri, Johor dan Avani Sepang Goldcoast Resort, Sepang, Selangor.
"Selepas pandemik Covid-19, kita berjaya capai sasaran jualan pada tahun lalu dengan peningkatan sehingga 40 peratus untuk pelancongan domestik dan luar negara berbanding sebelum pandemik.
"Jadi untuk tahun ini, kita akan sasarkan kenaikan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram