Saya sebahagian daripada panel Lembaga Pengampunan Diraja Najib — Anwar Ibrahim


  • Primer
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Anwar Ibrahim akan menjadi salah seorang daripada Panel Pengampunan Diraja untuk Najib Razak.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi sebahagian daripada panel Lembaga Pengampunan untuk memutuskan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pengampunan diraja.

Anwar juga berkata, mana-mana individu boleh memohon pengampunan di Malaysia dan ia akan tertakluk kepada undang-undang dan proses undang-undang.

“Saya akan menjadi sebahagian daripada proses dan mengenai perkara penganugerahan gelaran kebesaran dan pengampunan, itu adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak perlu membahaskan perkara ini secara terbuka kerana kita perlu melalui proses itu,” kata Anwar selepas melancarkan program di Projek Perumahan Rakyat di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Anwar juga berkata, tiada sebarang isu konflik kepentingan dengan beliau menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengampunan tersebut.

“Saya tidak melihat prosesnya. Kita kena lihat kes itu. Saya rasa agak awal untuk saya mengulas sekarang, kerana saya tidak nampak apa-apa kecuali ketetapan Umno,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa mana-mana banduan lain juga turut mempunyai hak untuk membuat rayuan.

“Saya tidak mahu menghalang sesiapa dalam perkara itu. Tetapi prosesnya, tentu saja, sangat rumit. Ia perlu diikuti dan akhirnya, keputusan adalah semata-mata budi bicara Yang di-Pertuan,” kata Anwar.

Menurut Perkara 42(5) jika Perlembagaan, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara, Menteri Besar atau Menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada Disember tahun lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan telah disusun semula menjadi sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Namun, Anwar tidak menamakan Menteri Wilayah Persekutuan ketika mengumumkan Kabinetnya Disember lalu.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram