BEBERAPA persatuan agensi pelancongan meminta kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusannya menangguhkan perjalanan rakyat negara ini untuk mengerjakan ibadah umrah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, penangguhan itu akan menyebabkan bakal jemaah umrah yang membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan menanggung kerugian kewangan besar.
"Sebelum dapat visa umrah, agensi perlu membuat pembayaran melalui sistem e-wallet yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, selepas bayar untuk kos pengangkutan bas dan hotel barulah keluar visa umrah.
"Kalau ada berlaku penundaan di pihak Malaysia maka amaun yang telah dibayar tidak akan dikembalikan, serta agensi pelancongan tidak boleh membuat pembayaran semula kepada jemaah. Jadi diharap apa sahaja kerugian ditanggung oleh jemaah dan agensi wajar diambil kira,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Turut hadir Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham, Setiausaha Agong Kehormat Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Ab Rahman Mohd Ali dan Naib Presiden Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Mohd Azri Abd Razak.
Sementara itu, Setiausaha Agong Kehormat Bumitra, Ab Rahman berkata, anggaran kos kerugian yang perlu ditanggung jemaah yang telah berdaftar ekoran penundaan itu dianggarkan sebanyak RM210 juta.
Menurutnya, agensi perlancongan juga bakal berhadapan dengan tuntutan tribunal ataupun mahkamah sivil daripada bakal jemaah umrah, bagi menuntut bayaran yang dibuat akibat penangguhan perjalanan umrah terbabit.
"Untuk makluman, tuntutan bayaran balik untuk penangguhan umrah pada 18 Mac 2020 masih ada yang belum dapat diselesaikan, jadi penundaan yang baru diumumkan bakal memberi impak besar kepada agensi-agensi pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Papuh, Razali turut mencadangkan agar para jemaah umrah diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak, sekiranya pihak kerajaan menarik semula keputusan penangguhan perjalanan jemaah umrah berkenaan.
"Kami juga memohon agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kaunter ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sewaktu ketibaan jemaah dan menambah bilangan kakitangan KKM yang bertugas agar proses dipercepatkan,” katanya.
Pada Jumaat, kerajaan memaklumkan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram