ADEGAN penjualan hamba di pasar dalam filem arahan Seniman Negara, Tan Seri P.Ramlee bertajuk 3 Abdul bukan lagi satu ‘babak’ fiksyen kerana situasi tersebut benar-benar berlaku di dunia nyata.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, jenayah melibatkan pemerdagangan manusia tidak hanya melibatkan penipuan pekerjaan semata-mata.
Sebaliknya perbuatan itu turut melibatkan penghambaan moden menggunakan jenayah kekerasan yang boleh mengakibatkan kematian.
“Buat masa sekarang, kebanyakan mangsa berusia 40-an ke bawah, boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara antara kriteria.
“Purata masyarakat dari bangsa Cina yang menjadi sasaran, tetapi golongan Melayu turut ada menjadi mangsa kerana fasih berbahasa Mandarin atau berkawan dengan orang Cina,” katanya ketika dihubungi Majoriti.
Hishamuddin turut memberitahu individu dari Rusia, Kenya dan Turkiye turut dijadikan sasaran penjenayah sama ada ditipu atau diculik sebelum dibawa ke Loas, Myanmar atau Kemboja.
“Saya ada mengadakan perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dan rata-rata mengatakan ‘target’ penjenayah sekarang tidak lagi golongan dari negara Asia.
“Ada kejadian jenayah berlaku apabila seorang mangsa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu diculik dan dibawa ke Thailand sebelum ke Kemboja atau Myanmar,” jelasnya.
Pada masa sama, Hishamuddin turut mengatakan Thailand menjadi destinasi transit mangsa sebelum dihantar ke Laos, Kemboja dan Myanmar.
Lokasi KK Garden dipercayai menjadi penempatan mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar.
“Bagi membantu menyelesaikan perkara ini, kerajaan perlu melakukan perbincangan dengan pemerintah dari negara terlibat agar dapat mencapai kata sepakat sekali gus membersihkan imej negara Asia.
"Bimbang perkara ini akan mencerminkan imej buruk kepada negara Asia dan menjejaskan sektor perlancongan negara,” katanya.
Tambah beliau, mangsa akan diberikan tugasan atau sasaran (keuntungan) yang diarahkan oleh pihak tertentu untuk dicapai sekiranya enggan diseksa atau dibenarkan pulang.
Kata Hishamuddin terdapat beberapa peringkat yang akan berlaku kepada mangsa yang terjebak dengan jenayah ini.
Peringkat pertama
Diminta untuk menjadi ‘scammer’ atau melakukan jenayah penipuan dalam talian. Setiap daripada mereka akan diberikan sesuatu jumlah atau sasaran untuk dicapai. Sekiranya gagal, mereka ini akan diseksa sama ada tidak dibenarkan makan, tidak dibenarkan tidur atau dikenakan renjatan kerusi elektrik. Jika masih gagal lagi untuk memenuhi keinginan penjenayah, mangsa kemudian dijual kepada agen yang seterusnya.
Peringkat kedua
Mangsa akan diberikan ‘tugasan’ sama iaitu sasaran untuk dicapai sekiranya ingin pulang. Mereka ini akan dibawa ke beberapa negara lain sama di Asia atau Eropah untuk dijadikan sebagai pelacur. Seperti biasa jika masih gagal mencapai sasaran, mereka ini akan menerima hukuman yang selalunya melibatkan penderaan fizikal.
Peringkat akhir
Jika mangsa masih gagal, mereka seterusnya akan dijual kepada pihak lain yang menjalankan penjualan organ manusia secara haram. Peringkat ini mangsa yang bersesuaian akan dipilih untuk diambil organ mereka dan dijual.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut mengatakan mangsa akan diberi peluang untuk menghubungi keluarga dengan membuat panggilan video sekali semingu selama tiga minit.
“Kamera tersebut hanya akan memperlihatkan wajah mangsa sehingga paras bahu atau bahagian atas badan sahaja. Mangsa hanya dibenarkan untuk mengatakan perkara yang baik sahaja dan jika keluarga mempertikai sama ada dipukul atau dibera, panggilan akan dimatikan segera,” ujarnya.
Meskipun mengenatahui lokasi panggilan dibuat, namun kerajaan Malaysia tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap penjenayah kerana difahamkan kelompok tersebut dilindungi oleh pihak berkuasa tempatan.
Myanmar, Laos dan Kembaja dijadikan sebagai lokasi tempat penyimpanan mangsa pemerdagangan manusia.
Hishamuddin Hashim
“Pihak berkuasa tempatan di Myanmar tidak memberi kerjasama bagi menyelesaikan jenayah ini dan difahamkan mereka ini antara yang melindungi mereka. Berbeza dengan kerajaan di Kemboja apabila saya melihat ada tindakan positif menunjukkan Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen bertegas untuk membanteras penjenayah dan menyelamatkan mangsa,” kata Hishamuddin.
Pada masa sama, Hishamuddin turut berkongsi beberapa tip yang boleh digunakan bagi mengelakkan diri daripada terjerat dengan jenayah sebegini.
1. Siasat
Sekiranya diberikan tawaran kerja di luar negara tidak mengira sama ada daripada ahli keluarga mahupun kenalan, sebaiknya lakukan siasatan terlebih dahulu terhadap syarikat tersebut. Periksa sama ada benar wujud atau sebaiknya hubungi terus untuk bertanyakan tentang tawaran kerja berkenaan.
2. Percutian
Melancong ke luar negara tentu sahaja sesuatu perkara yang menyeronokkan. Namun, harus berhati-hati terutama kepada pelancong solo wanita. Wanita lebih mudah menjadi kerana dianggap lemah dan tidak melawan. Sebaiknya jika ingin melancong, pergilah dengan ahli keluarga, agensi pelancongan berdaftar atau berjalan dalam kumpulan yang ramai.
Dinasihatkan jangan terlalu memakai barangan berharga atau memperlihatkan diri ‘terlalu mewah’ kerana ini akan menarik perhatian penjenayah untuk dijadikan sasaran.
3. Kedutaan
Sekiranya ingin melancong ke luar negara, sebaiknya maklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia yang ada di negara tersebut. Perkara ini akan memudahkan kedutaan untuk mengenalpasti lokasi kita berada.
4. Cinta
Perkara ini banyak melibatkan hubungan dalam talian. Jangan terlalu mudah menaruh kepercayaan terhadap individu yang tidak dikenali sehingga sanggup membayar wang ringgit mahupun bertemu dengan suspek di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram