BAKAL jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu merayu pihak berkuasa supaya menyelamatkan dokumen-dokumen sulit mereka yang masih lagi disimpan agensi pelancongan.
Gesaan itu dibuat kerana sangat bimbang sekiranya dokumen mereka akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti penipuan yang lain.
Menurut salah seorang jemaah yang mahu identinya dirahsiakan, jemaah diminta untuk memberikan kesepuluh cap jari mereka yang ketika itu didakwa sebagai sebahagian daripada proses untuk perjalanan haji mereka.
"Ketika kursus Mardiah pada 10, 11 dan 12 Jun lalu, pihak pengurusan meminta kami meletakkan 10 cap jari di atas borang berserta dengan nama.
"Kemudian, mereka minta kami tandatangan atas borang tersebut. Mereka turut imbas kad pengenalan dan muka kami terpampang di skrin.
"Pada masa itu, kami dimaklumkan semua proses tersebut perlu dilakukan untuk memudahkan urusan kami di imigresen nanti.
"Sekarang, saya ingin tahu, ke mana perginya semua dokumen tersebut? Saya risau kalau data-data itu akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti penipuan yang berlainan," katanya yang memohon Visa Furada kepada Majoriti.
Pemulangan pasport sebahagian jemaah yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi.—Agensi
Tambahnya, agensi perlancongan berkenaan hanya memulangkan pasport, buku suntikan meningococal, dua foto, sehelai kertas borang permohonan visa yang tidak ada apa-apa catatan di bahagian 'urusan rasmi'.
"Kami tidak mahu dipergunakan buat kali kedua. Jadi, saya mohon pihak berkuasa segera bertindak menyelamatkan maklumat-maklumat tersebut.
"Saya ada tanya pada jemaah haji lain yang juga memohon Visa Furada. Tapi mereka kata mereka tidak perlu berikan cap jari sebanyak itu.
"Ini yang merisaukan saya. Kami telah ditipu selicik-liciknya. Jadi tidak mustahil data-data kami digunakan atau dijual untuk tujuan yang sama," tambahnya lagi.
Pada Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi perlancongan.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Perlepasan KLIA dipercayai menggunakan Visa Furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Setakat berita ini ditulis, lima individu termasuk pemilik sebuah syarikat perlancongan diberkas di sekitar ibu negara dan di KLIA untuk siasatan lanjut.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram