KES jenayah kian meruncing kebelakangan ini dengan beberapa anggota polis turut terpalit sama dalam isu berkenaan terutamanya dalam hal melibatkan rasuah dan dadah.
Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk tidak bersekongkol dengan sindiket dadah dan jenayah.
Menerusi amanat kepada Ketua JSJN Negeri secara telesidang, Ayob Khan turut menekankan mengenai isu integriti.
"Isu integriti ini adalah tidak terlibat dengan sindiket dadah, sebarang pelakuan jenayah serta lain-lain aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan penyeliaan kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing," katanya dipetik menerusi Facebook rasmi JSJN pada Jumaat.
Perkara itu boleh dikaitkan susulan beberapa laporan kes jenayah melibatkan anggota polis sebelum ini dengan yang terbaharu, tiga pegawai polis yang ditahan SPRM atas dakwaan menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah pada Jun lalu.
Ketiga-tiga anggota berpangkat sarjan itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada pengedar dan penagih dadah sekitar daerah Perak Tengah, Perak.
Selain itu, satu lagi kes turut membabitkan polis berlaku di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan pada Jumaat apabila seorang anggota berpangkat lans koperal ditahan selepas dipercayai menjadi 'dalang' sindiket penyeludup mercun ke negara ini.
Difahamkan, suspek menutup mercun yang dimuatkan di bahagian belakang keretanya menggunakan kanvas dan hasil pemeriksaan lanjut menemui berpuluh ribu mercun bola, mercun roket, mercun bateri, mercun pop-pop dan pelbagai bunga api dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.
Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut menitipkan ucapan agar semua ketua jabatan terus komited dan ikhlas menjalankan tugas yang diamanahkan dan semoga JSJN terus cemerlang dalam membanteras dadah musuh nombor satu negara.
Untuk rekod, Ayob Khan diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram