DUA lelaki maut selepas kenderaan dinaiki merempuh papan tanda jalan dan terjunam ke dalam sungai di Kilometer (KM) 6 Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.30 pagi Sabtu ketika mangsa masing-masing berusia 21 dan 22 tahun menuju ke Ayer Hitam dari Parit Tengah, Parit Raja.
“Kereta itu dipandu mangsa berusia 21 tahun, manakala lelaki berusia 22 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan.
“Pemandu tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh sebelah kanan jalan, melanggar papan tanda jalan sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam sungai Parit Kuari,” katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan kereta mangsa yang terjatuh di dalam sungai di KM) 6 Jalan Parit Botak, Ayer Hitam pada pukul 6.30 pagi Sabtu. — Bomba
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia tempat kejadian dengan mayat mereka dibawa keluar Jabatan Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya mengerahkan tujuh anggota ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Kereta itu jatuh ke dalam sungai sedalam satu meter dengan kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kereta,” katanya sambil menambah kes itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas mayat dikeluarkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram