'Rider' maut tidak sempat elak lori masuk stesen minyak di Puncak Alam


  • 112
  • Khamis, 06 Apr 2023

Polis menerima laporan tentang kemalangan tersebut lebih kurang jam 10.40 malam melibatkan sebuah lori dengan sebuah motosikal. — IPD Shah Alam

SEORANG penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak sebuah lori yang ingin membelok masuk simpang kanan menuju sebuah stesen minyak di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan tentang kemalangan tersebut lebih kurang jam 10.40 malam melibatkan sebuah lori dengan sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun datang dari arah Puncak Alam sedang berhenti untuk membelok masuk ke simpang kanan bagi menuju ke stesen pam minyak di lokasi.

"Semasa pemandu lori sedang membelok masuk ke simpang kanan, tiba-tiba datang penunggang motosikal yang bergerak lurus dari arah Shah Alam tidak sempat mengelak terus melanggar di bahagian tepi lori.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun terjatuh di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik bertugas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram