JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan notis saman terhadap seorang pemandu bas atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu semasa perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh, baru-baru ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim dalam kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya juga mengenal pasti bas dibawa pemandu itu adalah milik sebuah syarikat beroperasi di Butterworth, Pulau Pinang.
"JPJ ingin menegaskan bahawa tindakan memandu sambil menggunakan telefon bimbit merupakan kesalahan serius dan berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kemalangan jalan raya, bukan sahaja penumpang bas tersebut, malah kepada pengguna jalan raya lain," katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 20 saat di media sosial yang memperlihatkan seorang pemandu bas menggunakan telefon bimbit ketika memandu, manakala kedua-dua bahagian sikunya digunakan untuk mengendalikan stereng bas.
Video berkenaan mengundang kecaman ramai kerana sikap pemandu itu yang jelas tidak menghiraukan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Zailani berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu tersebut mempunyai 13 saman kesalahan jalan raya lampau dan tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil terhadapnya.
"JPJ ingin menasihati semua pemandu dan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, manakala pihak syarikat juga perlu memantau dengan rapi pemandu kenderaan masing-masing, supaya lebih berhemah dan beretika ketika memandu agar perkara seperti itu tidak berulang lagi pada masa akan datang, demi keselamatan penumpang bas ekspres dan juga pengguna jalan raya lain," katanya.
Selain itu, beliau menyeru orang awam agar menjadi 'mata dan telinga' JPJ serta menyalurkan sebarang aduan berhubung kesalahan jalan raya dengan menggunakan aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@jpj atau [email protected]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram