15,000 banduan diberikan peluang pekerjaan tahun ini — V. Sivakumar


  • Primer
  • Khamis, 06 Apr 2023

V. Sivakumar ketika sidang media mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di Kementerian Sumber Manusia pada Khamis. — Bernama

KEMENTERIAN Sumber Manusia menyasarkan seramai 15,000 bekas banduan dari sekolah Henry Gurney dan banduan yang akan dibebaskan tidak lama lagi akan diberi pekerjaan tahun ini, kata V. Sivakumar.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Penjara.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 77,000 banduan yang mampu menjadi tenaga kerja produktif sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

“Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing, rugi jika kita tidak memanfaatkan tenaga kerja yang ada dalam negara.

“Sehubungan itu, saya menggesa lebih ramai majikan tampil memberi peluang kedua kepada golongan ini memulakan hidup baharu selepas menjalani hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Penjara di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sivakumar berkata, sejak 2021 hingga bulan lalu, seramai 588 banduan, bekas banduan dan banduan Sekolah Henry Gurney telah menerima tawaran kerja melalui inisiatif seperti Program Penempatan Lesen Banduan Percuma dan Program Re-Entry@MyFutureJobs.

“Jumlah itu terdiri daripada 409 bekas banduan, 44 parol dan individu di bawah pengawasan manakala selebihnya membabitkan penghuni Sekolah Henry Gurney.

Sivakumar juga berkata, jumlah pekerja Kemboja di negara ini dijangka meningkat hasil daripada dua Memorandum Persefahaman yang ditandatangani semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemboja pada 27 Mac lalu.

Kemboja telah bersetuju untuk memberi latihan dan pendedahan kepada tenaga kerjanya sebelum menghantar mereka bekerja di Malaysia.

Menurutnya, terdapat 4,422 pekerja Kemboja di negara ini termasuk 926 pekerja rumah tangga. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram