Penyerang Kamal Adli guna baton, bantah keputusan mahkamah Singapura tak dibenar ikat jamin


Keadaan Kamal Adli yang semakin stabil tapi masih memerlukan pemantauan doktor.— Instagram/kamaladli

MAHKAMAH Singapura tidak membenarkan lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli diikat jamin.

"Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Mental (IMH), saya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin,” kata Hakim Daerah, Brenda Tan pada Selasa.

Hakim bersetuju terhadap permohonan pendakwaan untuk tidak menawarkan ikat jamin dan menangguhkan kes itu selama empat minggu bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.

"Kes ini ditangguhkan selama empat minggu kepada 2 Mei,” kata Tan.

Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri.

Lelaki berusia 33 tahun itu, didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac atas pertuduhan disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya.

Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang hadir di mahkamah, membantah permohonan Pendakwa Raya untuk tidak membenarkan dia diikat jamin.

Tertuduh yang ditanya Tan berhubung bantahannya berkata, semakan IMH telah mendapati dia berkelakuan dan bertingkah laku baik.

"Jadi saya tidak nampak kenapa saya tidak diberi tawaran jaminan," kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tan menangguhkan kes itu selama kira-kira tiga minit bagi membolehkan mahkamah membaca dua perenggan, khususnya 18 dan 21 dalam laporan IMH kepada tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam kemudiannya berkata, tidak semua dalam perenggan 18 dan 21 adalah benar, saya tidak setuju.

Pada 12 Mac kira-kira pukul 9.19 malam, Polis Singapura menerima maklumat mengenai kes tertuduh didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive.

Polis merampas baton berkenaan untuk dijadikan bahan bukti.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 di Dewan 5A Ekspo Singapura selama tiga hari bermula 10 Mac.

Menurut isterinya, insiden tersebut berlaku di penghujung acara itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram