ENAM negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini bersetuju mencapai kata sepakat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada dua minggu terakhir bulan Jun.
Negeri-negeri terbabit iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023.
"Persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing," kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau turut berkongsi gambar memaparkan dirinya bersama pemimpin bagi enam negeri terbabit iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam perkembangan lain, Chow berkata, mesyuarat enam menteri pada petang Rabu bersetuju bahawa DUN akan dibubarkan dalam dua minggu terakhir Jun bagi membuka laluan kepada PRN.
"Perkara ini akan disampaikan kepada Ketua Negara dan kepimpinan parti masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bercakap mengenai tarikh PRN, Chow berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya akan memutuskan perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram