Harga makin mencanak, suara rakyat sinis risau rumah, tanah dikuasai warga asing


  • Massa
  • Rabu, 22 Feb 2023

Terdapat beberapa syarat perlu dipenuhi warga asing sekiranya mahu memiliki rumah di negara ini.

MAJORITI pemaju merancang untuk menaikkan nilai hartanah projek perumahan baharu tahun ini dan ia merisaukan penduduk Malaysia terutama bagi mereka masih belum memiliki rumah pertama.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Industri Hartanah Separuh Kedua 2022 dan Unjuran Pasaran 2023 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang melakukan tinjauan mendapati, 63 peratus pemaju memilih untuk meningkatkan harga jualan hartanah sebagai langkah untuk mengatasi kenaikan kos bahan binaan.

Keputusan tinjuaan itu nampaknya kurang disenangi oleh rata-rata rakyat yang bimbang sekiranya kebanyakan kediaman dan tanah bakal didominasi oleh warga asing.

Dengan nada sinis kata Shahrizan Tajol: "Baguslah tu, tak ada masalah pun. Apalah sangat masalah buat kerajaan. Rumah mampu milik pun dah RM300,000, basic (pekerjaan) RM1,500, syarat pinjaman RM3,000. Lepas tu nanti kata lambakan rumah tak laku, jual pada warga luar kononnya rumah kedua selepas negara asal."

Tambah Adobo Dobo: "Setiap tahun makin banyak rumah tak terjual dek kerana terlalu mahal.Kerajaan hari ini dan akan datang jangan memandai-mandai bagi orang luar ramai-ramai beli rumah kat Malaysia ni. Masalah lagi berat akan menanti."

Tulis Muhd Naufal: "Bukan masalah bagi pemaju sebab dasar kerajaan akan sokong dan biarkan kenaikan harga. Lepas tu boleh buka jualan untuk orang-orang asing atas tiket 'pelabur asing', padahal menjual negara seinci demi seinci."

Memetik portal Majalah Labur, warga asing yang dibenarkan membeli rumah di negara ini termasuk golongan ekspatriat dan pelancong yang telah diterima dengan sah di Malaysia.

file71nv5xhpmclpl06678d

Khabar mengenai kenaikan harga rumah dilihat tidak disenangi penduduk negara ini. — Gambar hiasan

Untuk membeli rumah di Malaysia, mereka perlu memahami dasar-dasar tertentu dan juga kos undang-undang yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia dalam pembelian harta tanah.

Warga asing boleh memiliki sehingga 100 peratus hartanah (rumah) di Malaysia, selagi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dipenuhi.

Mengikut syarat yang ditetapkan, mereka boleh memiliki sebarang jenis rumah dan hartanah kecuali rumah yang bernilai kurang daripada RM1 juta dan unit perumahan kos rendah dan sederhana yang ditentukan kerajaan.

Selain itu, warga asing juga tidak boleh berada di atas Tanah Rizab Melayu, atau rumah yang diberikan kepada Bumiputera dalam mana-mana projek pembangunan yang telah ditentukan pihak berkuasa.

Oleh itu, mereka boleh memiliki sebarang jenis rumah yang diinginkan kecuali tanah perindustrian dan juga Tanah Rizab Melayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram