AGENSI Pengurusan Bencana Negeri Lagos (Lasema), Nigeria menyalahkan sikap pemandu bas Kerajaan Negeri Lagos atas kemalangan kereta api yang mengorbankan enam dan mencederakan 96 orang penumpang pada Khamis.
Difahamkan kejadian itu berlaku ekoran daripada sikap pemandu bas yang degil dan tidak mengendahkan tanda amaran serta terus melintasi landasan kereta api tersebut.
Kereta api dalam perjalanan dari Ijoko, Ogun menuju ke Ebute-Meta melanggar sebuah bas kepunyaan Kerajaan Negeri Lagos yang sedang melintasi landasan di wilayah Oshodi, Lagos.
Menurut Setiausaha Tetap Lasema, Olufemi Oke-Osanyintolu, pemandu bas dilihat cuba memintas isyarat berhenti sebelum kenderaan itu dirempuh kereta api.
"Pemandu bas terbabit 'memandu secara melulu' dan cuba melintasi garisan bertentangan biarpun amaran isyarat kereta api dinyalakan," katanya.
Kenyataan itu turut disokong beberapa orang saksi yang melihat bas berwarna biru itu diheret kira-kira 100 meter sebelum berhenti.
Menurut salah seorang saksi kejadian yang tidak didedahkan namanya, dia turut melihat beberapa orang penumpang yang berada berdekatan pintu kecemasan pengangkutan tersebut melompat keluar dari kereta api berkenaan.
Berdasarkan laporan media antarabangsa punchng.com, kerja-kerja menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih giat dilakukan dan kesemua mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Lagos, Nigeria.
Sementara itu, Ketua Jurutera Mekanikal Syarikat Kereta Api Nigeria (NRC), Augustine Arisa mengesahkan kepada media tempatan mengenai nasib yang dihadapi penumpang bas.
"Pihak kami menerima panggilan daripada salah seorang pemandu kereta api yang melaporkan insiden di bandar tersebut kira-kira pukul 8 pagi.
"Antara laporan yang diterima ialah pengendali landasan sudah melayangkan bendera merah bagi memberi arahan supaya tidak melintasi laluan tersebut," katanya.
Setakat ini, seramai enam penumpang bas dan kereta api dilaporkan maut sementara 96 yang lain cedera dengan kesemua daripada mereka sedang menerima rawatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram