[VIDEO] Cucu yang dera anjing, datuk dan nenek pula yang kena kecam di JB


  • Tular
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Tangkap layar seorang remaja lelaki didakwa sengaja mendera seekor anjing liar di Johor Bahru, Johor.

SEORANG ibu merayu kepada orang ramai untuk berhenti mengganggu keluarga dan ibu bapanya yang sudah tua susulan rakaman tular anaknya yang didakwa menganiaya seekor anjing liar di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Carene Ng, 40, berkata, dia dan anaknya bersedia untuk berhadapan dengan kemarahan orang ramai namun menganggap ia satu perkara tidak adil jika ahli keluarga dan rakannya yang lain turut dilibatkan sama dalam hal tersebut.

“Orang yang waras pasti akan marah apabila melihat haiwan diperlakukan sedemikian.

“Sebagai seorang ibu, saya juga bertanggungjawab atas kesilapan anak saya.

"Anda boleh melepaskan kekecewaan kepada kami tetapi tolong, jangan ganggu ahli keluarga, saudara mara dan rakan saya," katanya sambil menambah bahawa ibu bapanya yang berusia dalam lingkungan 70-an, telah menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas daripada orang yang tidak dikenali.

Terdahulu, anak lelaki Ng, Braden Yap, 18, telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi video berdurasi 45 saat di Facebook.

“Saya faham dan saya jelaskan, saya tidak sepatutnya berbuat demikian. Saya akui itu adalah kesilapan saya.

“Saya sangat menyesal dan berjanji tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada masa akan datang. Saya harap semua orang dapat memberikan saya peluang lagi.

“Saya juga akan membayar kos perubatan kecederaan anjing itu,” katanya dalam video yang disiarkan di Facebook pada Jumaat.

Perbuatan remaja itu tertangkap menerusi kamera litar tertutup CCTV apabila sengaja mendera anjing liar tersebut dengan membaling barang ke arah anjing tu selain membakar ekor haiwan berkenaan.

Tindakannya telah mencetuskan kemarahan ramai dan rata-ratanya mengutuk tindakan terbabit.

Ng berkata, anaknya telah memohon maaf dan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan.

“Saya faham mungkin ramai yang tidak menerima permohonan maaf kami dan itu tidak mengapa. Tetapi satu-satunya permintaan saya ialah berhenti mengganggu rakan dan saudara kami kerana mereka tiada kaitan dengan kes ini,” tambahnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah merekodkan keterangan daripada suspek dan suspek akan didakwa di mahkamah Johor Bahru pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM25,000 dan RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram