
LAPAN perompak bersenjata memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Kinrara, Puchong dan melarikan wang tunai serta barang kemas bernilai lebih RM5,000 pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun, berada di hadapan perkarangan rumahnya pada pukul 4.10 pagi ketika didatangi lapan individu lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
“Seorang daripada suspek bertindak menumbuk mukanya beberapa kali dan memaksa mangsa memberitahu tempat dia menyimpan wangnya.
“Mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan ibu mangsa menyerahkan barang kemasnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Suspek turut menggeledah setiap bilik di rumah itu sebelum melarikan diri, katanya.
“Suspek melarikan kira-kira 3.5kg barang kemas dan wang tunai kira-kira RM5,000.
“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis secepat mungkin,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram