[VIDEO] Merusuh pukul mangsa guna kayu besbol, polis Johor tahan 3 lelaki, 7 lagi suspek diburu


  • 112
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Tiga individu yang ditahan kerana merusuh dan merosakkan harta benda awam dalam kejadian di Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru, Johor pada Khamis. —Facebook/PolisJohor

POLIS menahan tiga lelaki tempatan kerana merusuh dan merosakkan harta benda awam di Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular, merakamkan sekumpulan lelaki merusuh di tempat kejadian pada Khamis.

“Saya boleh mengesahkan kejadian berlaku pada Rabu di mana dua mangsa lelaki berusia antara 44 dan 29 tahun membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Mangsa diserang dengan kayu besbol dan sebatang kayu di mana seorang mangsa mengalami kesan calar di muka manakala seorang lagi mengadu sakit perut dan kepala,” katanya pada Jumaat.

Kamarul menambah unit kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Selatan segera ke tempat kejadian dan menahan ketiga-tiga suspek berusia antara 23 dan 26 tahun, kira-kira pukul 5.15 pagi.

Beliau berkata, tujuh lagi suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki Proton Gen 2 dan Toyota Vios.

“Kami sedang menjejaki suspek yang lain,” katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan.

Kamarul menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu segera menghubungi talian hotline polis daerah Johor Baru Selatan di talian 07-2182323. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram