SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital selepas dipukul beramai-ramai di sebuah taman rekreasi di Serangoon, Singapura pada Khamis.
Berdasarkan laporan polis, kejadian tersebut difahamkan berlaku berhampiran Blok 201 Serangoon Central pada 15 Januari lalu, dan panggilan bantuan diterima kira-kira pukul 4.15 petang.
Kes itu diklasifikasikan sebagai perbuatan merusuh dan lapan remaja berusia antara 11 hingga 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Insiden berkenaan dirakamkan menerusi telefon pintar dan video berdurasi 52 saat itu tersebar meluas di laman media.
Ketika kejadian, mangsa kelihatan sedang duduk di salah satu alat senaman di taman tersebut sebelum ditendang oleh seorang remaja lelaki.
Dua lagi individu kemudiannya turut serta dalam serangan itu dengan memukul dan menumbuk mangsa sehingga terkulai di atas tanah.
Suspek mensasarkan kepala dan badan mangsa ketika kejadian.
Dalam pada itu, salah seorang suspek meminta rakannya untuk melarikan diri sekiranya polis muncul dan suaranya turut dirakamkan dalam video terbabit.
Mangsa dilaporkan menangis dalam kejadian itu dan remaja terbabit dibawa ke hospital dan polis sedang giat menjalankan siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram