Gaduh sampai mati, banduan didakwa bunuh rakan sel sama


Seorang banduan diakwa atas pertuduhan membunuh rakan di selnya. — RTM

SEORANG banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Rabu atas pertuduhan membunuh rakan satu sel selepas terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka Februari lepas.

Mohd Fahrur Radzi Chahat, 34, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar, 47, di sebuah bilik di Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang, kira-kira 2.15 petang pada 17 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Mazana menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pada 24 Februari lepas, media melaporkan seorang banduan warga Indonesia berusia 47 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka selepas tujuh hari menerima rawatan akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan satu sel di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram