Selepas 150 tahun, Belanda setuju serah 41 rangka manusia Guar Kepah, bakal dipamer di Galeri Warisan


  • Primer
  • Rabu, 29 Mac 2023

Rangka manusia di Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang akan dibawa pulang dari Belanda. — Mstar

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara bakal membawa pulang khazanah warisan negara iaitu bahagian daripada rangka manusia di Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang yang tersimpan di Belanda.

Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936. Kesemua jumpaan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuk 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity Centre (NBC), Leiden, Belanda.

Kini, rangka-rangka berkenaan telah diambil alih oleh Kerajaan Belanda dan disimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) di Amersfoort, Belanda.

Usaha untuk mengembalikan rangka-rangka ini telah diselaraskan oleh pihak Jabatan Warisan Negara setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Susulan itu, pihak Kementerian Luar Negeri telah mengutus Nota Diplomatik pada Ogos 2022 kepada pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia bagi menyampaikan hasrat untuk memohon membawa pulang 41 rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah dari NBC.

MOTAC menerusi kenyataannya pada Rabu merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Belanda atas persetujuan untuk memulangkan rangka-rangka Tapak Arkeologi Guar Kepah kepada Malaysia.

"Kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh Kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal.

"Diharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam bidang seni, budaya dan warisan.

"Penghargaan turut dirakamkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air," katanya dalam kenyataan itu.

Rangka-rangka ini dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2024 untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang sedang dibangunkan.

Sekembalinya rangka-rangka tersebut, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram