[VIDEO] Tergamak bapa mencuri depan budak


  • Tular
  • Selasa, 28 Mac 2023

Tangkap layar video tular kejadian kecurian tersebut.

SEORANG lelaki tidak berfikir panjang apabila tergamak untuk melakukan kegiatan mencuri di hadapan kanak-kanak dipercayai anaknya dalam satu kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.

Dalam video tular pada Selasa, lelaki berkenaan dilihat mencuri barangan daripada sebuah kenderaan jenis Proton Perdana yang diparkir di sekitar kawasan dipercayai di Riverfront City, Sungai Petani,Kedah.

Menerusi klip berdurasi dua minit satu saat itu, lelaki terbabit meletakkan kenderaannya, jenis Proton Iswara berwarna coklat cair betul-betul di sebelah kereta mangsa.

Dia yang memakai t-shirt berwarna putih dan bertopi hitam kemudiannya melihat-lihat ke dalam kenderaan mangsa sebelum dengan mudah membuka pintu depan bahagian kiri kereta tersebut bagi mengambil beberapa barangan dan memindahkannya ke dalam keretanya.

Pada masa sama, turut kelihatan di bahagian depan kerusi penumpang kereta lelaki tersebut adalah seorang individu yang sedang memangku seorang kanak-kanak.

Dia kemudiannya turut membuka bahagian penyimpanan belakang kenderaan terbabit untuk mengambil beberapa lagi barangan.

Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan dilihat terus meninggalkan kawasan tersebut dengan kenderaannya.

Difahamkan, video tersebut dirakam oleh individu yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Tiada kenyataan pihak berkuasa dikeluarkan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tular, Sungai Petani, curi, proton