Polis buru 'mak cik telekung biru' kaut RM3,500 curi barangan jemaah masjid


  • 112
  • Selasa, 21 Mac 2023

Tangkap layar video tular menunjukkan suspek membuat kegiatan mencuri ketika jemaah sedang menunaikan solat.

POLIS sedang mengesan seorang wanita yang terbabit dalam kes kecurian barangan di Masjid Taman Temerloh Jaya, Temerloh Pahang, seperti video tular di sosial media pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung insiden tersebut pada Ahad yang melibatkan anggaran kerugian bernilai RM3,500.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup masjid berkenaan, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lebih kurang pukul 8.48 malam.

"Video tersebut memaparkan suspek di percayai seorang perempuan bangsa Melayu berumur lingkungan 40-an sedang mencuri barang peribadi milik jemaah wanita serta menaiki kereta jenis Proton Wira benwarna biru atau kelabu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azhar berkata, susulan laporan dibuat, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai mempunyai maklumat berkenaan suspek boleh menyalurkannya kepada pegawal penyiasat, Sarjan Md Tamizan Mohamed di talian 013-3418771 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-2716222 atau mana-mana balai balai polis berdekatan.

Majoriti pada Isnin melaporkan mengenai video tular membabitkan seorang wanita yang memakai 'telekung biru' melakukan kegiatan mencuri barang jemaah wanita di masjid berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram