[VIDEO] 'Mak cik telekung biru' dirakam curi barangan jemaah wanita sedang solat di Temerloh


  • Tular
  • Isnin, 20 Mac 2023

Wanita berkenaan didapati mundar-mandir menyelongkar beberapa beg jemaah bagi mendapatkan barangan antaranya termasuk telefon bimbit ketika jemaah lain sedang menunaikan solat.

SEORANG wanita kini sedang dicari selepas disyaki melakukan aktiviti mencuri barang jemaah wanita yang sedang solat di Masjid Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang pada Sabtu lalu.

Perbuatan wanita itu diketahui melalui video daripada sistem rakaman litar tertutup masjid (CCTV) masjid berkenaan yang turut tular di sosial media, pada Isnin.

Menerusi klip berdurasi satu minit 59 saat itu, wanita tersebut dilihat memakai telekung berwarna biru ketika melakukan kegiatan mencuri di bahagian ruangan solat wanita masjid terbabit.

Semasa kejadian, wanita berkenaan didapati mundar-mandir menyelongkar beberapa beg jemaah bagi mendapatkan barangan antaranya termasuk telefon bimbit ketika jemaah lain sedang menunaikan solat.

Dalam pada itu, difahamkan insiden yang berlaku ketika waktu solat Isyak itu sudah pun dilaporkan kepada pihak polis.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 1.59.01 PM

Ketika kejadian, difahamkan jemaah di masjid tersebut sedang melaksanakan solat Isyak.

Perkara itu dimaklumkan oleh suara latar terdapat dalam video tular tersebut yang dipercayai merupakan pemilik kepada klip berkenaan.

"Jadi tuan punya badan yang kehilangan barang dah pun membuat laporan polis dan siapa-siapa yang boleh mengecam mak cik ini dan tahu di mana dia tinggal, boleh bagitahu kepada Masjid Taman Temerloh Jaya.

"Sebabnya laporan telah dibuat, nanti kita akan maklumkan kepada pihak polis," menurutnya.

Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram