Pemilik butik tawar 'Kasut Raya Rahmah' serendah RM20 di Kedah


  • Bizz
  • Isnin, 27 Mac 2023

Pemilik butik kasut di Jitra dan Alor Setar itu menawarkan jualan 'Kasut Raya Rahmah' serendah RM20 sepasang. — Bernama

SEORANG pemilik butik kasut di Kedah turut mengambil peluang membantu golongan memerlukan menyediakan kelengkapan Aidilfitri pada harga mampu milik dengan menawarkan 'Kasut Raya Rahmah' bermula serendah RM20 sepasang.

Haslina Wani Abdul Hamid, 40, yang mengusahakan Butik Wanniz Shoppe di Jitra dan Alor Setar, Kedah berkata, pihaknya melaksanakan inisiatif harga rendah itu bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan membeli kasut berkualiti pada harga mampu milik untuk perayaan berkenaan.

"Kita tak mahu letak harga tinggi supaya pembeli mampu bergaya cantik dengan harga murah dan seiring dengan saranan kerajaan itu," katanya.

Haslina Wani berkata, golongan memerlukan amat dekat di hatinya memandangkan beliau sendiri pernah mengalami kesusahan apabila perniagaan pakaian yang diusahakan merudum antara 2008 dan 2009 hingga wang yang tinggal ketika itu hanya 20 sen sebelum bangkit semula dengan perniagaan sekarang.

Beliau berkata, pihaknya masih memperoleh keuntungan menjual kasut jenama sendiri itu pada harga rendah.

"Kasut kami tahan lama walaupun dijual pada harga murah. Tiada isu kalau jual murah kasut tak ada kualiti, kasut kami jual ada kualiti tersendiri. Setakat ini, pelanggan banyak ulang beli, kasut mereka pakai tahan lama," katanya.

Haslina Wani berkata, pihaknya akan menambah stok kasut baharu dengan reka bentuk berlainan sekiranya kasut harga Rahmah yang tersedia di butik itu habis bagi memperbagaikan rekaan kasut sekali gus menawarkan banyak pilihan kepada pelanggan.

"Saya sasarkan lebih ramai pelanggan dapat mengambil peluang membeli kasut pada harga jauh lebih rendah ini, terutama golongan B40 bolehlah ambil peluang ini," katanya.

Beliau juga mengharapkan lebih ramai pemilik jenama tempatan memain peranan melaksanakan harga Rahmah seperti saranan kerajaan dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram