[VIDEO] Kecoh imam masjid di Pahang kena serang lelaki guna selipar


  • Tular
  • Ahad, 26 Mac 2023

Tangkap layar video tular tersebut yang menunjukkan seorang individu lelaki menyerang imam yang sedang mengetuai solat di dalam masjid.

TULAR satu video pada Ahad kejadian imam yang sedang mengetuai solat jemaah di dalam masjid diserang oleh seorang individu lelaki.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang ketika solat subuh pada pagi Ahad.

Dalam video berdurasi 31 saat itu, individu terbabit yang memakai baju Melayu berwarna ungu dan berkain pelikat serta berseluar panjang hitam dilihat merempuh beberapa orang jemaah yang sedang solat di dua barisan saf hadapan untuk menuju ke arah imam.

Sejurus selepas itu, lelaki tersebut bertindak mahu menampar imam berkenaan dengan selipar dipegang di tangannya dari arah tepi namun sempat dielak oleh imam terbabit yang turut beredar daripada kedudukannya.

Ekoran daripada itu, beberapa orang jemaah termasuk seorang pengawal keselamatan tampil menghentikan perbuatan agresif lelaki tersebut dan memegangnya bagi membawanya keluar.

Beberapa jemaah yang sedang solat kelihatan agak terkejut dengan kejadian tersebut dan tidak begerak daripada kedudukan masing-masing.

Pihak Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 ketika dihubungi Majoriti memaklumkan satu kenyataan akan dikeluarkan Imam Besar masjid berkenaan mengenai video tersebut dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram