Hanya lantikan MAIS dibenar imamkan 20 rakaat solat tarawih di Selangor


  • Primer
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Solat tarawih dilaksanakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada April 2021.

PENTADBIR masjid, surau dan musolla di Selangor hanya dibenarkan menggunakan khidmat imam yang dilantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, bagaimanapun keputusan telah dibuat untuk membenarkan imam yang dilantik kariah masjid berkenaan di negeri berkenaan.

Jelasnya lagi, khidmat imam luar negara tidak dibenarkan melainkan telah mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah atau ayat-ayat pendek.

"Pelaksanaan tazkirah hendaklah dilaksanakan selepas selesai solat sunat tarawih oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak melebihi 20 minit," katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, pelaksanaan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti program melibatkan masjid dan surau dibenarkan dengan kapasiti penuh mengikut syarat ditetapkan.

Tambah beliau, berikutan peralihan fasa endemik Covid-19 yang sedang dilalui ketika ini, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga

"Pihak pentadbir masjid, surau dan musolla serta jemaah digalakkan untuk memakai pelitup muka.

"Selain itu, individu yang mempunyai gejala atau kurang sihat tidak digalakkan hadir ke masjid dan surau," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram