Terengganu larang ahli politik beri kuliah, ceramah, khutbah Jumaat


  • Primer
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak menggunakan ia untuk tujuan politik kepartian. — Gambar Hiasan

MAJLIS Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu pada Jumaat mengeluarkan larangan terhadap semua individu ahli politik termasuk ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara daripada memberikan sebarang kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Selain itu, perkara lain yang turut dilarang ialah penyampaian khutbah dalam solat Jumaat.

Menurut kenyataan Yang Dipertua MaidamTerengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak menggunakan ia untuk tujuan politik kepartian.

“Semua ahli yang berhormat sama ada Adun, ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

“Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu," katanya.

Namun menurut Shaikh Harun, pengecualian masih diberikan kepada pemegang tauliah mengajar dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Perintah larangan tersebut dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Shaikh Harun Shaikh Ismail. — Awani

Kata Shaikh Harun, masjid merupakan institusi agama yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, selain menjadi simbol perpaduan umatnya. Justeru ia perlu dimakmurkan sebaik mungkin.

Masjid dan surau tidak boleh sama sekali digunakan untuk sebarang kegiatan yang menimbulkan keresahan atau perselisihan dalam kalangan masyarakat.

"Ia termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian.

"Sultan menzahirkan rasa dukacita dengan situasi penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah atau pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran Maidam," katanya.

Shaikh Harun turut mengarahkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di Terengganu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar dan khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah daripada Maidam.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) juga dikehendaki membuat pemantauan atas arahan yang dikeluarkan supaya ia dapat dipatuhi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram