SEORANG remaja lelaki berumur 13 tahun lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang berhampiran Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.
Remaja malang berkenaan lemas selepas dihanyutkan arus air longkang yang mengalir laju.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Fariz Ammar Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 4 petang Jumaat itu, mangsa cuba menyeberangi longkang berkenaan namun tergelincir dan terjatuh.
“Mangsa bersama tiga lagi rakannya berusia antara 10 hingga 13 tahun ketika kejadian.
"Mereka dalam perjalanan untuk bermain bola sepak di padang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Fariz Ammar lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya mengesan mayat mangsa kira-kira 30 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
"Pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum membawa mayat ke hospital untuk bedah siasat.
"Tiada tanda-tanda unsur jenayah dalam kes itu dan ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Siasatan lanjut juga sedang dijalankan.
“Kami juga ingin mengingatkan ibu bapa supaya mengambil tahu tentang aktiviti anak mereka dan memastikan mereka dipantau bagi mengelak kejadian seperti ini berlaku,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram