PM Anwar terpaksa tolak permintaan Arab Saudi lanjut tempoh kunjungan


  • Primer
  • Ahad, 26 Mac 2023

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) menunaikan umrah di tanah suci Mekah pada 22 Mac lalu ketika dalam rangka lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini. — Bernama

KERAJAAN Arab Saudi telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melanjutkan tempoh lawatan rasmi ke negara itu baru-baru ini bagi menyusun pertemuan antara beliau dan pemimpin negara berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang menjelaskan perkara itu berkata, Anwar bagaimanapun terpaksa menolak permintaan berkenaan secara baik.

Ini kerana katanya, Ahli Parlimen Tambun itu dijadualkan hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, beliau memaklumkan Perdana Menteri juga dijadual mengadakan kunjungan rasmi ke Phnom Penh, Kemboja pada Isnin sebelum seterusnya ke Hainan dan Beijing, China pada Rabu untuk bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

"Saya mengambil maklum terhadap suara daripada beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.

"Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini, dan bersama mendukung usaha serta upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

JEDDAH, 23 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama dengan Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam Dr. Muhammad Al Jasser ketika hadir menyampaikan ucaptama pada Program Bersama Komuniti Perniagaan Bank Pembangunan Islam hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama dengan Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam Dr. Muhammad Al Jasser ketika hadir menyampaikan ucaptama pada Program Bersama Komuniti Perniagaan Bank Pembangunan Islam pada 23 Mac lalu. — Bernama

Ahmad Farhan berkata, lawatan berkenaan yang diisi dengan jadual padat dan tersusun, sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh, meskipun terdapat dakwaan sesetengah pihak bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lepas, adalah gagal dan membazirkan wang rakyat.

Beliau berkata lawatan ke negara Timur Tengah itu yang diadakan dalam tempoh singkat setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, menyaksikan pemimpin negara itu mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia.

Menurutnya, Anwar juga menyaksikan beberapa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) penting melibatkan lapangan perniagaan dan industri, menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam, selain menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram