Personaliti Nazri Aziz sesuai sebagai Duta Besar Malaysia ke AS — Zahid Hamidi


  • Primer
  • Ahad, 12 Feb 2023

Mohamed Nazri dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. — Bernama

DATUK Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz merupakan personaliti yang sesuai sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana berupaya merapatkan hubungan antara kerajaan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno berkata, beliau percaya bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga mampu memperkukuhkan pelbagai kerjasama melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Kerana kita pernah ada beberapa duta besar sebelum itu seperti Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang dapat menjalinkan hubungan antara Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia dan menubuhkan bukan sahaja Business-to-business (B2B), peer-to-peer (P2P) (rakan setara).

"Bagi Umno, apa yang penting ialah memperkukuhkan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara AS (Amerika Syarikat) dan kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri bengkel Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD) pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Beliau percaya Mohamed Nazri mampu menyusun dan menganjurkan pertemuan dan mesyuarat antara Anwar dan pemimpin tertinggi kerajaan serta pemimpin korporat Amerika Syarikat apabila perdana menteri mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan, nanti.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pada Sabtu, Anwar dilapor berkata, pelantikan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Mohamed Nazri bukan atas cadangan UMNO, sebaliknya dibuat atas syor bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menerajui kerajaan terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, negara sebelum ini berada di tahap tiga bagi nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat, namun berjaya ditingkatkan ke tahap dua.

Justeru, beliau berharap Mohamed Nazri mampu meningkatkan semula tahap nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat kepada tahap satu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram