Remaja 3 beradik dirantai kaki ditemui tidak bermaya, 2 termasuk ibu ditahan di Kangar


  • 112
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Ibu mangsa mendakwa, ketiga-tiga anaknya sukar dikawal sehingga memaksanya merantai mereka. — Gambar hiasan/Agensi

BARU sahaja beberapa hari umat Islam menyambut kemuliaan bulan Ramadan, rakyat negara ini pula dikejutkan dengan insiden menyayat hati membabitkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Memetik laporan Berita Harian, tiga remaja lelaki dipercayai mangsa dera diselamatkan orang awam, selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, dekat Kangar, Perlis pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusof, dua daripada mangsa merupakan OKU dirantai di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

Yusharifuddin berkata, seorang lelaki memaklumkan tentang penemuan tiga kanak-kanak lelaki dirantai di kaki berada di tepi titi Jalan Kampung Tambung Tulang, menghala ke Utan Aji.

Mangsa berusia antara 13 hingga 16 tahun ditemui sekitar pukul 11.55 malam.

"Dua daripada mangsa adalah OKU ditemui dengan keadaan kaki mereka dirantai dengan besi, manakala seorang remaja tidak dirantai dan dijumpai oleh orang awam yang melalui Jalan Kampung Tambun Tulang menghala Ke Utan Aji di Simpang Empat.

"Kita percaya, tiga mangsa ini adalah adik beradik berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun dan dua daripada mereka ini memiliki kad OKU.

"Mangsa dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa remaja ini melarikan diri dari rumah mereka kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian.

"Kita bagaimanapun belum peroleh maklumat kerana mereka enggan bercakap dan mangsa kini menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

"Hasil keterangan awal, ibu kepada remaja itu pula menyatakan sikap ketiga-tiga anak ini agak sukar dikawal menyebabkan ibunya bertindak merantai mangsa," katanya.

Yusharifuddin berkata, mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil serta tidak menunjukkan sebarang trauma atau ketakutan.

"Susulan itu, kita menahan dua suspek iaitu ibu mangsa berusia 46 tahun dan seorang lelaki yang belum diketahui pertaliannya berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua direman selama tujuh hari bermula hari ini (Sabtu) sehingga 31 Mac bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Remaja berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis selepas rawatan mereka selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram