SEORANG bapa bertindak kejam apabila sanggup mendera bayinya yang berusia enam bulan 22 hari sampai mati kerana merasa terganggu dengan tangisan bayi tersebut.
Kejadian menyayat hati itu berlaku di rumah suspek dekat Kecamatan Wanea, Kota Monado, Sulawesi Utara, Indonesia pada Isnin sekitar pukul 3 petang.
Difahamkan, ketika kejadian suspek sedang bermain permainan video 'Mobile Legends' di telefon pintarnya dan berasa terganggu apabila bayinya menangis tanpa henti.
Ketua Polis Sulawesi Utara, Kombes Jules Abraham Abast berkata, tertuduh kemudiannya mendera mangsa dengan memukul bibir dan kepala bayi itu berulang kali.
"Suspek memukul bayinya di kepala dan bibir menggunakan tangan," katanya.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Manado, Indonesia dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di lokasi.
Suspek terlebih dahulu cuba memperdaya kakitangan hospital dengan mendakwa anaknya menghidap penyakit jantung.
Namun, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan pukul di badan mangsa dan percaya bahawa ia merupakan kes penderaan.
Jules mendedahkan kes berkenaan diterima selepas kakitangan perubatan di Hospital Bhayangkara Manado memberikan maklumat kepada penyiasat dari Balai Polis Wilayah Sulawesi Utara, Indonesia.
Suspek kini ditahan pihak polis dengan siasatan masih dijalankan berhubung kes berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram