Pengasuh taska tak mengaku salah 7 tuduhan dera bayi sampai koma di Batu Buruk


Tertuduh didakwa menganiaya bayi tersebut sehingga berlaku pendarahan dalaman.

SEORANG pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad atas tujuh pertuduhan mendera seorang bayi sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, didakwa menganiaya bayi berkenaan sehingga menyebabkan pendarahan dalam kepala dan retak pada tempurung kepala sebelah kiri di sebuah taska, antara 1 hingga 3 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 16 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

Sebelum ini, seorang bagi lelaki berusia empat bulan dilaporkan koma selepas dipercayai didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk, Terengganu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram