Mahkamah lanjut tempoh reman 5 suspek kes dera budak di Johor


Hasil bedah siasat yang dijalankan di HSI mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan hentakan objek keras dan tumpul di kepala. — Bernama

TEMPOH reman lima individu termasuk kakak kandung kanak-kanak berusia empat tahun yang maut dipercayai didera di Senggarang di Batu Pahat, Johor disambung tujuh hari lagi.

Majistret Siti Zubaidah Mahat membenarkan perintah sambung reman terhadap kesemua individu berumur antara 15 hingga 37 tahun itu yang berakhir pada Sabtu hingga 7 Januari tahun depan bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun selepas mangsa meninggal dunia kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kelima-lima individu itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat kira-kira 8.30 pagi Sabtu dengan berpakaian lokap dan diiringi polis.

Selasa lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak 23 Disember setelah dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang sebelum meninggal dunia pada 6.45 petang hari yang sama.

Dilaporkan mangsa dijaga oleh kakaknya berusia 19 tahun selepas ibu bapa mereka dihukum penjara kerana kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga.

Khamis lepas, Kamarul Zaman dilapor berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di HSI mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan hentakan objek keras dan tumpul di kepala. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram