PERBICARAAN kes dera melibatkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang dilaporkan kini bersendirian susulan penarikan diri barisan peguamnya mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan ramai.
Malah, sebelum memulakan prosiding perbicaraan pada Selasa, Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan, menerima notis penarikan diri dua lagi peguamnya iaitu, Asiah Abd Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan.
Tangkap layar penjelasan Hafidzah di Instagram.
Bagaimanapun, tidak berdiam diri dengan persoalan yang timbul, Hafidzah akhirnya tampil membuka mulut menerusi kenyataan balas di ruangan komen sosial media miliknya bahawa, penarikan diri peguam adalah perkara biasa dalam istilah undang-undang.
“Dalam istilah undang-undang, penarikan diri peguam adalah perkara biasa.
“Dan kali ini, kerana pertindihan tarikh dengan kes-kes yang ditetapkan lebih awal, bukan sebab lari,” katanya menerusi Instagram pada Rabu.
Penjelasan tersebut diberikan peguam selepas ditanyakan orang ramai tentang penarikan diri peguam-peguam yang mewakili Siti Bainun.
Tangkap layar komen Hafidzah di Instagram.
Hafidzah juga menafikan bahawa surat penarikan diri hanya diberikan pada hari pertama prosiding pembelaan berlangsung sebaliknya sudah dihantar pada Disember tahun lalu.
“Surat penarikan diri dihantar pada Disember, namun, mahkamah menyuruh untuk memfailkan notis pada Isnin dan mention semula pada Selasa.
“Jadi, bukan hari Isnin baru difailkan,” jelasnya.
Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun didakwa atas kesalahan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan, Siti Bainun sebak dan menitiskan air mata di kandang saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur apabila diberitahu oleh Hakim yang peguam mewakilinya menarik diri daripada mengendalikan kes.
Difahamkan mahkamah menetapkan 26 dan 27 Januari ini sebagai tarikh sambung perbicaraan membela diri tertuduh manakala prosiding yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, ditangguhkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram