Imigresen tidak akan lindungi pegawai tak berintegriti


  • Massa
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Jabatan Imigresen Malaysia memberikan kerjasama penuh berkaitan penahanan lima pegawainya yang didakwa terlibat dalam penyeludupan PATI. — Gambar hiasan

LIMA pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman berhubung sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Khamis lalu.

Susulan penangkapan itu, JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap salah laku melibatkan mana-mana pegawai dalam soal pelanggaran integriti.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh berkaitan penahanan lima pegawai terbabit kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan PATI pada Khamis lalu.

"Imigresen Malaysia tidak bertolak ansur dalam soal pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.

"Imigresen Malaysia menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

"Tahap integriti pegawai Imigresen Malaysia sentiasa dipastikan berada di tahap maksimum menerusi pelbagai program dilaksanakan bagi menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam diri setiap mereka.

"Selain daripada itu, Jabatan ini sentiasa bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran," katanya.

Kesemua mereka ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan PATI di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram