[VIDEO] Kasari warga emas ketika tangkap anjing liar, Ahli Parlimen tuntut penjelasan MBPJ


  • Primer
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Lee (gambar kecil) menggesa MBPJ menjelaskan tindakan pegawainya yang didakwa mengasari Khoo. — Facebook

AHLI Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjelaskan tindakan anggotanya yang didakwa mengasari seorang warga emas semasa operasi menangkap anjing di Jalan 18/17 di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Mangsa, Patrick Khoo, 69 yang merupakan pemilik sebuah syarikat pembekal minyak pelincir, mendakwa anggota MBPJ yang ditugaskan untuk menangkap haiwan liar tersebut mengasarinya dengan menggunakan gelung penangkap anjing pada sebelah kiri mukanya (Khoo), apabila berlaku pergelutan kira-kira pukul 9 malam pada 22 Mac lalu.

Kesan daripada pergelutan tersebut menyebabkan Khoo mengalami kesakitan.

Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu turut tersebar di media sosial.

Difahamkan, Khoo juga sudah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Brickfields, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sehubungan itu, Lee berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan tindakan anggota penguatkuasa yang dipercayai MBPJ.

"Kami sudah menghantar surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk menjelaskan tindakan pegawai mereka berhubung kes ini.

"Pihak kami juga sedang mendapatkan penjelasan mengenai prosedur operasi standard yang digunakan MBPJ ketika menjalankan operasi menangkap anjing.

"Ini termasuk prosedur yang perlu dipatuhi oleh pegawai yang terlibat semasa operasi.

"Kami juga berharap siasatan terperinci akan dijalankan oleh Unit Integriti dan keadaan ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, MBPJ turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai penularan kejadian itu di media sosial.

"MBPJ mengambil maklum penularan video di media sosial berkenaan insiden kakitangan majlis dengan orang awam semasa operasi tangkapan anjing dijalankan.

"Berhubung insiden tersebut, satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan dan kes ini sekarang sedang dalam siasatan.

"MBPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan seandainya benar dan terbukti telah melakukan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MBPJ turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan aduan di saluran rasmi Majlis di saluran website www.mbpj.gov.my, e-mel di [email protected], menelefon di talian hotline aduan 03-7954 2020, saluran WhatsApp (011-12017914), Facebook - MBPJ Aduan dan aplikasi eAduan MBPJ. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram