Tiada lagi monopoli Puspakom


  • Primer
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Anthony Loke berkata, proses pelawaan kepada pihak yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024

JEMAAH Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan bermotor akan dibuka kepada mana-mana pihak yang layak sebaik sahaja konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat pada 31 Ogos 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, proses pelawaan kepada pihak yang berminat dalam menyediakan perkhidmatan akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024.

"Keputusan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Sehubungan itu, Puspakom tidak lagi menjadi satu-satunya penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024.

Puspakom ialah syarikat pemeriksaan kenderaan nasional pertama dan satu-satunya komprehensif yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori untuk kenderaan komersial dan persendirian.

Diperbadankan pada 1994, ia merupakan anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram