BULAN Ramadan sepatutnya merupakan waktu terbaik untuk umat Islam melakukan amal kebaikan dan mengumpul pahala sebanyak mungkin.
Namun, masih ada tangan yang sanggup mengotorkan bulan mulia tersebut apabila tergamak mencuri tabung di sebuah masjid.
Menerusi perkongsian video di laman TikTok, seorang lelaki kesal apabila tabung Masjid Al A'la di Jitra, Kedah hampir dilarikan pada hari pertama Ramadan.
Video tersebut turut memaparkan tabung besi itu ditinggalkan di laluan masuk ke dalam masjid berkenaan kerana disyaki gagal membukanya.
Meskipun tabung berkenaan tidak sempat dibawa lari, ia menyukarkan orang ramai untuk membawa masuk semula tempat simpanan wang itu ke dalam masjid.
Lebih teruk, anak tangga masjid berkenaan didapati pecah menyebabkan ia terpaksa dibaiki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, tabung besi itu ditemui seorang jemaah berusia 73 tahun kira-kira pukul 6.05 pagi Khamis.
"Tabung itu ditemui berada di koridor dalam keadaan masih berkunci. Pemeriksaan dijalankan mendapati tiada duit yang hilang.
"Pemeriksaan dijalankan berjaya menemui tiga cap jari pada tabung tersebut," katanya memetik laporan media tempatan.
Katanya, televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut bagaimanapun tidak meliputi kawasan tabung berkenaan dan hanya berada di dalam masjid.
"Tiada barang yang hilang namun satu anak tangga masjid tersebut pecah akibat terkena peti besi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram