Diskaun hingga 20 peratus antara tawaran buat peminjam PTPTN


  • Primer
  • Khamis, 02 Mac 2023

PTPTN menawarkan diskaun sebagai inisiatif pengurangan bayaran pinjaman bermula Rabu.

DISKAUN bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penangguhan bayaran balik mula berkuat kuasa pada Rabu dengan perkara itu membabitkan empat kategori.

Inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kewangan peminjam menerusi diskaun sehingga 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

PTPTN dalam kenyataannya memaklumkan, diskaun sebanyak 15 peratus diberikan untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

Pemberian diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual bayaran balik juga diberikan kepada peminjam selain diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

"Semua peminjam PTPTN termasuk yang dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima wang pendahuluan pinjaman (WPP) layak menikmati insentif tersebut," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN, portal rasmi PTPTN atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang disediakan.

"Peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau debit terus pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

"Peminjam boleh memilih salah satu atau kedua-dua saluran untuk menikmati insentif tersebut.

"Peminjam boleh memuat turun aplikasi myPTPTN melalui 'App Store' bagi pengguna iOS, 'Play Store' bagi pengguna Android dan 'Huawei AppGallery'," kata kenyataan itu,

Bagi individu yang mahu membuat penangguhan bayaran balik, mereka yang berpendapatan bulanan kasar RM1,800 ke bawah layak memohon inisiatif tersebut kecuali bagi peminjam yang menyertai program pengurusan hutang (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.

"PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemaskini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.

"Peminjam yang diluluskan penangguhan akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik," katanya.

"Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan," katanya.

PTPTN yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam, selaras dengan inisiatif kerajaan yang telah diumumkan melalui Belanjawan 2023.

Untuk sebarang pertanyaan peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi saluran Careline PTPTN di 03 - 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram