Keperluan pembantu guru kurangkan beban tugas pendidik dikaji


  • Primer
  • Khamis, 23 Mac 2023

Kajian terhadap keperluan mewujudkan pembantu guru itu bertujuan bagi menangani isu beban tugas dihadapi oleh penddidik di dalam negara.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas oleh kumpulan pendidik itu ketika ini, Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, selain itu KPM juga melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan 2023-2024.

Katanya, antara tujuh langkah tersebut adalah memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan mengurangkan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia tahun 2023 melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

"Menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang; pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru dan institut pengajian tinggi.

"Mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan,” katanya.

KUALA LUMPUR, 23 Mac -- Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying ketika hadir di Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendididik, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Khamis.

Lim turut memaklumkan tindakan guru yang bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia merupakan hak setiap guru.

"Kita tidak boleh memaksa untuk mereka terus berkhidmat namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakkan guru supaya terus mengajar sehingga tiba waktu bersara wajib pada usia 60 tahun,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPM, guru, bersara awal, sekolah, pendidikan