Kos haji: Bakal jemaah B40 dan M40 boleh bayar lebih secara sukarela walau tak sepenuhnya


  • Primer
  • Khamis, 23 Mac 2023

TH didakwa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam pengurusan haji, termasuklah kenaikan kos menunaikan ibadat haji yang di luar kawalan agensi itu.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menjangka jumlah Bantuan Kewangan Haji akan meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024, sekiranya kos bayaran menunaikan ibadah haji tidak disemak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu akan memberi kesan kepada TH, yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

"Saban tahun, TH berdepan dengan pelbagai cabaran dalam pengurusan haji termasuklah kenaikan kos menunaikan ibadat haji yang di luar kawalan TH, yang mana ia memberi kesan terhadap kemampanan kewangan institusi ini serta cabaran untuk mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik.

"Bagaimanapun, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk meringankan bebanan kewangan mereka," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahamad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena), yang ingin tahu asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Menjelas lanjut, Mohd Na’im berkata, walaupun boleh menerima Bantuan Kewangan Haji, bakal haji kumpulan B40 dan M40 diberikan peluang untuk secara sukarela membayar lebih daripada kadar ditetapkan, meskipun mungkin tidak dapat membayar sepenuhnya kos haji.

Bagi musim haji 1444 Hijrah, kos haji adalah RM30,850 untuk setiap jemaah muassasah Malaysia iaitu peningkatan lapan peratus berbanding RM28,632 tahun lepas (1443 Hijrah), manakala sejak 2001 hingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan bagi Bantuan Kewangan Haji.

Menurut Naim, TH sentiasa bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada berkaitan pendapatan mereka.

Katanya, kadar bayaran haji yang bersasar adalah mengambil kira tahap kewangan individu bakal haji dan bukan pendapatan isi rumahnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai cadangan mewujudkan tabung wakaf haji bagi memberi bantuan kewangan sama rata kepada jemaah, Mohd Na’im berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan dengan menilai keberkesanannya pada masa hadapan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram