SEORANG wanita maut manakala anaknya cedera parah selepas dilanggar sebuah kenderaan tentera Indonesia yang dipanggil Komodo dalam kejadian di Jawa Barat, Indonesia pada Khamis.
Dalam kejadian itu, Siti Masitoh, 42, yang menunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala anaknya, Raymond Faeyza Albasry, 4, masih menerima rawatan.
Ketua Penerangan Komando Tentera Darat, Agus Soeprianto berkata, ketika kejadian, kenderaan taktikal itu dipandu seorang daripada anggota tentera darat dan berada dalam keadaan konvoi bersama lima buah kenderaan lain.
"Kenderaan yang dipandu Pratu AA itu merupakan yang terakhir dalam konvoi tersebut dan kemalangan berlaku di hadapan sebuah stesen minyak pada pukul 9.40 pagi.
"Mangsa telah dilanggar dari arah belakang yang menyebabkan dia terjatuh sebelum digilis tayar pada bahagian sebelah kiri kenderaan.
"Mangsa kemudian telah dibawa dengan segera ke hospital namun meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.
Menurut Agus, pihaknya menyatakan rasa dukacita dengan apa yang berlaku dan sudah bertemu dengan keluarga mangsa.
Tambahnya, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci berkenaan dengan kejadian yang melibatkan kenderaan ketenteraan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram