Rafizi 'postpone', jawab isu terowong P.Pinang minggu depan


  • Politik
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Rafizi berkata, beliau akan menjawab cabaran tersebut selepas memberi keutamaan terhadap kes LCS.

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan menjawab mengapa beliau tidak membongkar penyelewengan projek terowong Pulau Pinang pada minggu depan.

Rafizi berkata, beliau sepatutnya menjawab mengenai perkara itu pada Jumaat, namun terpaksa menangguhkan cabaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya membongkarkan penyelewengan projek terowong Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng.

"Saya perlu menangguhkan perkara tersebut kerana jadual penuh serta pihak polis memanggil saya untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad," katanya ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Rafizi berkata, beliau akan menjawab cabaran tersebut selepas memberi keutamaan terhadap kes LCS.

"Saya akan jawab mengenai cabaran tersebut pada minggu depan," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan ciapan di Twitter bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang menyifatkan bahawa UMNO memberikannya ‘bola tanggung’ mengenai isu terbabit.

Tambah Rafizi, UMNO juga tidak tahu untuk menjawab mengenai semua pendedahan yang dilakukannya sebelum ini.

Menurut beliau, antara pendedahan yang dilakukannya ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda, Bank Pembangunan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan LCS. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rafizi Ramli, isu terowong, LCS,