Malaysia bincang kuota rasmi jemaah haji


  • Primer
  • Isnin, 09 Jan 2023

TH menerima pujian Arab Saudi atas pengendalian haji yang terbaik dan sistematik.

MALAYSIA memohon Arab Saudi supaya memaklumkan lebih awal kos-kos melibatkan urusan haji di Tanah Suci pada tahun ini bagi memastikan pengurusan jemaah haji Malaysia kekal terbaik.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama pengurusan TH dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Mohd Na’im dan rombongan kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bagi membincangkan urusan ibadat haji musim 1444 hijrah/2023.

Tabung Haji memaklumkan, antara yang turut dibincangkan adalah berkenaan jumlah asal kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang sebelum ini dikurangkan akibat pandemik Covid-19.

"Selain itu, program Makkah Route yang menjadikan Malaysia sebagai negara perintis bermula tahun 2017 turut dibincangkan pada pertemuan ini.

"Program ini memberi keselesaan kepada jemaah negara kerana tidak perlu melalui imigresen apabila tiba di Arab Saudi,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pertemuan itu juga, Dr Tawfiq Fawzan memuji TH atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

Kenyataan itu menyebut Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas layanan dan fasiliti baik yang sentiasa disediakan kepada jemaah haji negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TH, haji, kouta, Mohd Na’im Mokhtar, Arab Saudi,