UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sesak nafas, batuk dan selesema sejak tiga hari lepas.
Operasi pemindahan itu dilakukan bermula dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan pada Isnin.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, mangsa, Herissya Hefly berusia satu tahun tiga bulan yang ditemani ibunya Tijah Enda, 22, berada dalam keadaan stabil sewaktu proses pemindahan dilaksanakan.
"Anak kapal menerima tugasan mengambil pesakit ini semasa melaksanakan operasi menghantar makanan ke pos pedalaman Orang Asli di Pusat Sivik di sini pada 10.26 pagi dengan menggunakan pesawat Agusta Westland 189 (AW189).
"Dua jururawat dari Hospital Gua Musang dibawa bersama ke Pos Balar untuk mengeluarkan pesakit terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Hasrizal berkata, sepanjang operasi dijalankan, keadaan cuaca berawan rendah pada ketinggian 2,000 kaki dan penglihatan terhad di sesetengah tempat.
Menurutnya, operasi Medevac tersebut membabitkan tiga kru penerbangan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Wahyudi Mohd Sayuhti. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram