Orang Asli terbunuh kena serang, Perhilitan buru gajah liar


  • Primer
  • Selasa, 10 Jan 2023

Seorang remaja Orang Asli dilaporkan mati akibat serangan gajah di Kampung Tual, Pos Sinderut di Kuala Lipis, Pahang pada Isnin. — Awani

OPERASI penangkapan haiwan gajah liar telah dimulakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, susulan kes kematian seorang remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Sinderut di Kuala Lipis, Pahang pada Isnin.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata, 11 kakitangan terlibat dalam operasi yang dijalankan dan mereka dibahagikan kepada dua pasukan manakala lima lagi petugas ditubuhkan bagi tujuan kawalan keselamatan.

"Penjejakan akan dibuat setiap hari berdasarkan kesan terbaharu yang ditemukan kumpulan peninjau dan maklumat daripada penduduk.

"Jarak penjejakan dianggarkan antara 10 hingga 20 kilometer setiap hari, bergantung kepada jejak yang ditinggalkan haiwan berkenaan," katanya.

Rozidan berkata, setakat ini operasi itu dijadual akan diadakan selama 10 hari.

Pada Isnin, polis mengesahkan kematian Andy Yok Manin, 15, dipercayai akibat serangan gajah semasa berada di kebun durian di kampung tersebut.

Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang Isnin oleh ketua kampung selepas keluarga mangsa yang turut berada di kebun terbabit membawa mayatnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kebun tersebut.

Gajah itu dipercayai menghala ke kebun berkenaan selepas dihalau penduduk Kampung Regang akibat membuat kacau di situ. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram